Cerita Cinta Imbas Perkahwinan Artis


TV3 terus menyajikan program-program menarik untuk tatapan penonton setianya. Terbaru, dua buah program gaya hidup telah menemui penonton di slot Senda Pagi iaitu Si Kecilku…Chakk!! dan Cerita Cinta.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama TV3 & TV9 iaitu Puan Nurul Aini Abu Bakar, TV3 sering menerima maklum balas daripada para penonton yang mencadangkan agar menyiarkan program berbentuk gaya hidup.

“Kami mendapati isu perkahwinan selebriti antara topik yang paling digemari oleh penonton-penonton wanita yang tidak pernah bosan tentang persediaan majlis perkahwinan, kisah cinta pasangan selebriti dan juga fesyen busana pengantin.”


“Cerita Cinta bukan sahaja fokus kepada majlis perkahwinan yang gilang gemilang, ia juga mengisahkan perjalanan cinta dan kisah rumahtangga pasangan selebriti yang penuh dengan pancaroba hidup serta kontroversi.

“Manakala Si Kecilku...Chakk!! memberi pendekatan program secara santai dan merangkumi segala yang anda perlu tahu sebagai seorang ibu. Mereka perlu sentiasa melengkapkan diri dengan informasi terkini dalam penjagaan kesihatan diri, si manja dan kesejahteraan keluarga.”

Cerita Cinta memaparkan tentang kisah cinta pasangan selebriti popular tanah air dari saat mereka berkenalan hinggalah ke alam perkahwinan.

Selebriti popular yang merupakan figura masyarakat, tidak dapat menyembunyikan gerak geri mereka di mata umum terutamanya mengenai kisah cinta mereka yang sentiasa menjadi buruan media dan para peminat.

Walaupun tidak pernah lekang dari kontroversi dan gosip, namun mereka tidak mudah terpengaruh dan berjaya menjalin hubungan sehingga ke jinjang pelamin.

Antara pasangan selebriti yang mendapat perhatian umum dari saat mereka berkenalan, bercinta sehingga berkahwin termasuk Dato’ Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K), Datin Paduka Umie Aida dan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Hunny Madu dan Khairul Azhar Wahid, Jasmine Abu Bakar dan Zan Azlee, Siti Hasfizza Aswaty dan Afief Farhan Fauzi, Belinda Chee dan Joe Eng Yeow, Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin serta Serina Redzuawan dan Salahuddin Ghafar.

Tidak ketinggalan juga pasangan Rashidi Ishak dan Vanida Imran yang baru menyambut ulang tahun mereka yang ke 10 serta Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie, angkasawan negara yang baru saja melangsungkan perkahwinan beliau bersama Dr. Halina Yunos pada 10 Oktober 2010.

Daripada fasa perkahwinan, pasangan suami isteri akan melangkah ke fasa ibu bapa yang lebih mencabar dan menyeronokkan. Pada zaman moden ini, kebanyakkan ibu adalah wanita berkerjaya dan pastinya titik pengimbangan antara keluarga dan kerjaya menjadi faktor pertimbangan mereka dalam menjalankan rutin seharian.

Hadiah daripada ibu kepada ibu, Si Kecilku...Chakk!! pasti menjadi teman setia anda dalam mengharungi tugasan dan cabaran sebagai seorang ibu dalam penjagaan permata hati anda. Program ini bermatlamat untuk berkongsi segala maklumat yang anda perlu tahu sebagai seorang ibu.

Paparan menarik dalam 13 episod ini merangkumi isu-isu berkaitan wanita mengandung, trauma keguguran anak, masalah dyslexia kanak-kanak, perkembangan minda, hamil di usia 40 tahun, panduan penyusuan ibu-ibu berkerjaya, fesyen semasa mengandung dan selepas bersalin, masalah anak lambat bercakap dan juga menu-menu makanan berkhasiat yang mudah disediakan.

Si Kecilku...Chakk!! dihoskan oleh seorang selebriti yang anggun, jelita dan juga seorang ibu kepada bayi perempuan comel, Dynas Mokhtar.

Jangan ketinggalan untuk menonton Si Kecilku...Chakk!! pada hari Selasa, jam 11.00 pagi dan ikuti jurnal cinta pasangan selebriti kesayangan anda di Cerita Cinta, setiap hari Rabu jam 11.30 pagi hanya di TV3.

- Gua.com.my

 Nak tengok Cerita Cinta ? Layarilah Tonton.com.my

2 pemimpi:

Terima kasih kerana memberikan saya satu mesej mimpi (n____n)